Thursday, February 25, 2010

Selamat Meraikan Maulid Rasul

Esok, umat Islam di Malaysia akan meraikan Maulid Rasul. Di Johor sambutan ini kebiasaannya akan berakhir hampir sebulan kerana banyak sekolah yang akan mengadakan sambutannya mengikut kelapangan tarikh yang ada dalam Rabiul Awal ini.

Suami saya akan menghadiri sambutan ini di peringkat daerah esok pagi. Saya kurang pasti sama ada Mersing akan mengadakan perarakan atau tidak. Bagaimanapun, sambutan ini bukan semata-mata terletak pada perjalanan program yang telah diatur. Apa yang penting adalah penghayatan kelahiran Rasulullah SAW sendiri. Sejauhmana kita sebagai muslim mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut?

Kelahiran baginda SAW merupakan satu rahmat terhadap umat Islam. Kelahiran baginda SAW direnteti dengan pelbagai peristiwa. Dari kegelapan manusia dibawa keluar ke jalan yang terang dipancari cahaya keimanan. Kita diajar dengan pelbagai perkara kebaikan, cara untuk menghargai kehidupan ini dengan sebaiknya dan cara berkasih-sayang sesama makhluk. Tanpa Rasulullah SAW, umat Islam tidak akan merasai nikmat Islam dan Iman.

Oleh itu, bersempena dengan hari kelahiran baginda SAW, sama-samalah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan sentiasa mendoakan agar diri, keluarga, bangsa, agama dan negara kita berada dalam keadaan yang baik berpanjangan...Amin.

(Ya Allah! Turunkanlah hujan di bumi yang gersang ini. Kau siramilah air yang sejuk ke atas segala kehidupan di sini. Sesungguhnya ya Allah... dosa-dosa kami ini terlalu banyak... ampunilah kami ya Allah).

Sekarang ni el-Nino Modeki... jangan lakukan pembakaran terbuka dan jimatkan penggunaan air...!

No comments:

Post a Comment