Wednesday, February 02, 2011

Menerima dengan Redha.

Kucar-kacirnya situasi politik di Mesir memberikan saya rasa kegusaran lantaran usia dunia ini semakin hari semakin pendek. Timbul pelbagai persoalan di benak, adakah aku telah beramal dengan secukupnya? Bagaimana dengan tanggungjawabku? Masihkah aku berhutang? dan pelbagai lagi. Namun, apa yang pasti Allah Maha Pengasih. Setiap musibah yang melanda adalah satu ingatan kasih daripadaNya agar kita sentiasa ingat dan kembali semula kepadaNya.

Nama Abu Tufail Ubay bin Ka'ab bin Qis bin 'Ubaid al-Anshari al-Khazraji menjadi ilham untuk aku mencoretkan kata hari ini. Beliau seorang insan hebat. Digelar pemimpin para pembaca al-Quran (Sayyid al-Qurra'). Kebanyakan waktu hidupnya dihabiskan dengan berfikir dan berinteraksi dengan alam. Beliau insan soleh dan bertakwa.

Pernah beliau bertanyakan kepada Rasulullah SAW akan penyakit yang menimpa seseorang. Lalu Rasulullah SAW bersabda "Ia adalah kaffarah (penghapusan ) dosa seseorang itu". Mendengar penjelasan itu, Abu Tufail telah memohon daripada Allah Taala agar dia diberi penyakit supaya terhapus dosa-dosanya. Permohonan beliau dimakbulkan. Beliau demam berpanjangan sehingga ke akhir hidupnya.

Justeru, kita seharusnya sentiasa redha dan bermuhasabah diri dengan  apa yang ditimpakan kepada kita sama ada kesakitan, peperangan, bencana alam dan sebagainya. Anggaplah ia sebagai ingatan dan penghapusan dosa kita di dunia. Janganlah kita mencerca kesakitan kerana ianya datang dari Tuhan. Hendaklah kita kembali mengingati Allah, melakukan setiap suruhan dan menjauhi setiap laranganNya. Semoga Allah mengampunkan kita. AMIN!!!