Friday, May 28, 2010

Long time no see...

Salam...

Seminggu lagi cuti pertengahan tahun bagi sekolah-sekolah di Malaysia akan bermula. Sekolah saya ketika ini sedang diserang demam peperiksaan... anak-anak murid sedang berhempas-pulas menguji kefahaman masing-masing. Saya sentiasa doakan agar mereka berjaya dan mudah menjawab...Amin!

Sofea pula akan mula periksa 1 Jun nanti. Sebelum ini dia telah menduduki peperiksaan sekolah agama. Minggu depan subjek sekolah kebangsaan pula. Insya-Allah, semoga dia berjaya menjawab semua soalan yang diberikan. Emak sentiasa doakan kejayaan Sofea.

Sudah dua minggu saya bertugas sebelah pagi. Buat sementara waktu sahaja kerana mengambil-alih tugas rakan sekerja yang sedang cuti bersalin. Kebetulan beliau mengajar ting. 5, 4 dan 3. Guru yang menggantikan beliau mengambil-alih kelas yang saya ajar. Saya masih lagi cuba menyesuaikan diri. Sudah lama saya bertugas sesi petang apabila naik pagi kejutan budaya tidak dapat dielakkan. Pertama, saya rasa rakan setugas sesi pagi lebih serius, mungkin disebabkan kelas-kelas peperiksaan yang diajar dan tingkah laku pelajar dewasa yang agar sukar untuk ditangani. Kedua, agak jarang dapat bersua muka. Masa mengajar sesi pagi lebih lama dari sesi petang. Masing-masing stress. Saya sentiasa berdoa agar pihak pentadbir mengambil tahu tekanan mereka. Tidak dapat dinafikan arahan kementerian tetap arahan....

Saya turut mengambil-alih sebagai guru kelas sementara. Pelajar-pelajar ting 5. Bagi saya mereka istemewa kerana sepanjang karier saya sebagai seorang guru, pertama kali dalam hidup saya berjumpa dengan pelajar sebegini. Pelbagai pendapat dan komentar yang saya dengar dari rakan setugas mengenai mereka sebelum saya masuk ke kelas ini. Saya ambil dan menimbang sebaik mungkin. Apabila masuk ke kelas ini. Dalam 1 jam 20 minit....saya hanya mampu mengajar selama 10 minit sahaja dan hanya dapat menyentuh 2 perkara sahaja. Timbul rasa belas di hati ini lantaran memikirkan masa depan mereka. Saya akan cuba sedaya-upaya... selagi saya berada di sekolah ini, selagi nyawa dikandung badan saya akan mencari metod yang paling sesuai untuk mengajar mereka. Bagi saya inilah cabaran sebenar seorang guru.

Apabila masuk ke kelas ini, saya sentiasa teringat arwah ibu saya. Waktu sebegini mengingatkan saya kecekalan beliau dalam mengajar anak-anak yang bermasalah. Arwah emak sangat sabar dengan kerenah pelajarnya. Saya sering menjadikan motivasi agar menjadi guru seperti beliau. Sepanjang hidup arwah emak sebagai guru beliau tidak pernah mengajar pelajar pilihan. Namun, pelajar di bawah bimbingannya ada yang telah berjaya sehingga ke peringkat kedoktoran di Jerman. Emak tidak pernah mengeluh, tidak pernah mengatakan pelajarnya malas dsbnya. Saya akan cuba mencontohi emak!

Bagi tesis master saya... alhamdulillah telah dibuat pembetulan. Sekarang cuma hendak mendapatkan pelepasan semakan gaya UKM daripada pihak PPS. Kekangan kerja menyukarkan saya untuk bercuti. Namun, pihak UKM memberikan keizinan untuk saya menghantar wakil. Maybe suami akan pergi menghantar tesis kerana mudah baginya untuk mengambil cuti.

Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Ust Zulkarnain Mohamad kerana mengedit abstrak saya. Banyak kali saya betulkan namun saya masih tidak dapat menghasilkan yang terbaik. Justeru, saya sangat menghargai pertolongan ustaz kerana telah menunjukkan cara yang sepatutnya abstrak tesis saya ditulis. Baru saya faham. Pengalaman pertama menulis abstrak, payah juga nak susun idea sendiri. Suami sendiri pun kata saya ni insan kalut.. banyak perkara dalam kepala.... Well, itulah keistimewaan saya!