Tuesday, July 13, 2010

Ya Syaaban!

Ahh... tanpa disedari Syaaban telah pun dijejaki. Belum puas bertamu dalam Rejab, kini Syaaban pula membuka anjungnya. Teringat satu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Syaaban itu bulanku manakala Ramadhan itu bulan umatku.Syaaban ialah yang mengkifaratkan dan Ramadhan itu yang menyucikan".

Pelbagai fadhilat yang disebutkan oleh para ulama mengenai bulan ini. Antara amalan yang digalakkan ialah memperbanyakkan puasa sunat, bertaubat dan beristighfar, banyakkan zikir dan doa.

Pelbagai kelebihan yang hendak diberikan oleh Allah terhadap muridnya pada bulan ini. Namun, ada yang terlupa bahawa sebelum melakukan ibadah sunat di bulan ini, pastikan anda telah membayar hutang puasa sebelum ini.

Saturday, July 03, 2010

Bulan Rejab...

Maksud Rejab dari sudut bahasa adalah mengagungkan dan memuliakan. Rejab ialah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah. Ia dipanggil Rejab kerana kaum Quraisy sangat mengagungkannya pada masa Jahiliyyah, iaitu dengan mengharamkan peperangan pada bulan tersebut.

Rejab mencatatkan sejarah dukacita Rasulullah SAW kerana baginda kehilangan dua insan yang dikasihi dalam bulan ini. Baginda kehilangan Siti Khadijah RA dan Abu Talib. Pada masa yang sama Peristiwa Israk dan Mikraj juga berlaku pada 27 Rejab yang merupakan anugerah Allah kepada Rasulullah SAW yang amat tinggi niainya dari segi kerohanian.

Dalam bulan ini terdapat beberapa keutamaan seperti larangan melakukan peperangan, digalakkan memperbanyakkan doa dan umrah dan memperbanyakkan puasa sunat. Setiap amalan yang dilakukan oleh seorang muslim dalam bulan ini akan dilipatgandakan pahalanya.

Oleh itu, sama-samalah kita memperbanyakkan amalan dan taubat agar kita sama-sama memperolehi rahmat daripada Allah Taala.