Monday, December 20, 2010

Hujan Lebat.

Salam...

Hujan turun dengan lebat malam ini. Semalam hujan juga, gusar juga hati jika banjir (payah nak ke JB gi spital). Alhamdulillah, siang tadi panas, dapat juga baju dan toto kering. Almaklumlah, musim hujan... anak-anak pun hujan dalam rumah. Petang tadi Hidris, my beloved husband, telah ke Tanjung Balar, Desaru, menghadiri kursus selama seminggu. Duduk bilik seorang diri. Baru-baru ini diajak saya dan anak-anak pergi bersama-sama tapi saya hendak berada di rumah. Hendak berehat sebelum menjalani pembedahan.

Sebut mengenai pembedahan.. ngeri rasanya. 6 hari lagi akan berada di HSA. 22 Disember ini akan ke HSA untuk hadir temujanji dengan pakar ENT. Semoga segalanya berjalan lancar. Amin!

Hari ini ke sekolah. Awalnya hendak mengambil surat jaminan sahaja tetapi apabila GPK Pentadbiran ada saya ambil peluang untuk memaklumkan akan ketiadaan saya dalam mesyuarat profesional akan datang dan seminggu selepas sekolah dibuka. Saya dimaklumkan lebih awal tentang kerja saya pada tahun depan... Guru Kelas 5PD, Ketua Pemimpin PPIM, Ketua Panitia Pendidikan Islam, AJK Majalah, Penasihat Persatuan Pendidikan Islam .. rasanya tu saja. Oh, saya akan mengajar 4 kelas tingkatan lima dan 1 kelas tingkatan 4. Hmm... ini kena persediaan awal agar tidak terkejut dengan reaksi pelajar. Ya Allah! Kuatkanlah hambaMu ini. Saya sempat bertemu dengan pengetua baru. Pn Hajah Ruzita. Selamat datang ke SMKAB! Semoga anda dapat memimpin kami dengan baik.

22 Disember 2010. Ulangtahun perkahwinan saya yang kesembilan. Doa saya agar kehidupan kami diberkati dan dirahmati Allah serta berkekalan. Ya Allah! Jadikanlah aku seorang isteri yang solehah.

Tuesday, November 16, 2010

Akhir Minggu Persekolahan

Berbaki 3 hari lagi sebelum musim persekolahan 2010 melabuhkan tirainya. Tujuh bulan mengajar pada tahun ini, selepas di'posting'kan semula, banyak memberikan pengalaman baru yang tidak pernah diperolehi ketika mengajar di SIGS, JB. Dua budaya yang berbeza, jenis pelajar yang berbeza, persekitaran yang berbeza dan rakan-rakan staf yang berbeza sememangnya membuatkan diri ini mengeluh pada awalnya namun, mula menyedari yang masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Masakan tidak, dari SIGS (sekolah premier dan kemasukan pelajarnya dari 5A UPSR) ke SMKAB (pelajar bukan terpilih) adalah cabaran besar yang perlu diharungi. Terdetik dalam hati saya, inilah generasi yang perlu diberikan tumpuan. Apabila pelajar ini berjaya, ia memberikan impak yang tidak dapat dilupakan. Terharu kerana dari sifar kepada sesuatu yang bernilai. Benar kata rakan staf di sini, SMKAB menunjukkan guru mana yang benar-benar seorang guru.

Hari ini dan esok banyak sekolah yang bercuti. Sambutan Aidil Adha. Kebanyakan sekolah di Mersing tidak dibenarkan meneruskan cuti sehingga akhir persekolahan kerana pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum cuti sekolah. Di kesempatan ini, saya mengucapkan KULLU 'AM WA ANTUM BIKHAIR.

Cuti persekolahan kali ini tidak merancang pelbagai perkara. Perlu jaga SPM... letihnya rasa... Sejak mula menjadi guru hingga sekarang setiap tahun dilantik. Adakalanya iri hati juga apabila adik-adik junior dengan mudah menolak tugas tersebut kerana hendak balik kampung. Ahhh! Saya pun ada kampung juga! Tapi banyak kali mengingatkan diri... guru perlu berkorban.... Alhamdulillah saya punya suami yang amat memahami.

Sofea, anak sulung saya banyak kali meminta saya membelikan basikal. Ingat, hendak masukkan dia dalam kelas taekwondo ke?! Tapi tengoklah macam mana.

Akhir kata, selamat bercuti... dan bagi yang bertugas sepanjang cuti... kuatkan semangat anda!

Saturday, October 30, 2010

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

Cuaca tidak menentu. 2 minggu lepas Mersing diserang jerebu. Minggu ini sudah berkurangan. Hujan lebat hampir setiap malam. Pada masa yang sama Sofea dan Aser menghadapi peperiksaan akhir tahun. Alhamdulillah... mereka baru sahaja habis semalam. Sekarang anak-anak murid di sekolah yang sedang berhempas-pulas menjawab soalan. Kertas Pendidikan Islam akan diduduki 1 November ni. 2 November mereka tamat periksa. Sekolah saya terus sambung cuti Deepavali... bergembira sakanlah anak muridnya tapi para guru akan berhempas-pulas menanda kertas sebab markah perlu diberikan kepada pentadbiran pada 8 Nov.

La... dah nak masuk November rupanya.. cepat betul masa berlalu. Tak lama lagi nak cuti sekolah. Hmm.. saya masih bertugas dalam cuti ni. Apa lagi jaga SPM. Huhuhu! Kesian kat anak-anak tak dapat berjalan. Takpelah... suami saya pun bekerja jadi taklah rasa janggal sangat. Ada masa saya akan bawa anak balik Perak jap untuk ziarah moyang mereka. Suami kata naik keretapi je. Hehehetak pernah naik keretapi ni...excited giler!

Hujan turun lebat. Nak sudahkan kerja yang bertimbun-timbun nih. Anak-anak tengah tidur. Inilah masanya untuk buat kerja klu tak nak pegang pen pun susah. Hmm.. nak buat sarapan apa pagi ni?!! Ingat nak beli je sebab bahan-bahan dapur takde. Suami berkursus nak beli barang pun tak sempat.

Kena pen-off sekarang. Buat anak-anak SMKAB jawab periksa elok-elok dan sentiasa ingat Allah. Solat jangan lupa!

Monday, October 04, 2010

Horeey....

Kaki telah mencecah masuk ke Oktober. Musim persekolahansemakin menghampiri penghujungnya. Tinggal beberapa minggu lagi untuk menghabiskan silibus. 27 Oktober nanti para pelajar tingkatan 2 dan 1 akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Bagi pelajar tingkatan 3, 5 Oktober ni saat paling mengujakan. PMR bermula menandakan permulaan bagi peperangan mereka. Selamat Berjuang anak-anak Tingkatan 3.

Tinggal sebulan lebih lagi saya akan dibedah. Pembedahan tidaklah major tetapi masih mengerikan juga. Lantaran melibatkan bahagian leher. Dekat dengan peti suara dan urat nadi. Doakan saya berjaya dan selamat dalam pembedahan ini.

Faiz akan datang Rabu ni. Tak sabar pula nak tengok perubahan adik bongsu ni. Dia datang bersendirian menaiki kereta ayah. Ntah masih ingat atau tidak jalan ke Mersing. Risau juga... yelah orang lama di perantauan. Dia nak datang melawat kakak sebelum pulang kembali ke India.

Sunday, September 19, 2010

KULLU 'AM WA ANTUM BIKHAIR...

Antara sedar dengan tidak, Ramadan telah berlalu pergi. Terlalu pantas. Seakan terasa ia masih belum kunjung tiba. Hari ini sudah 9 Syawal. Alhamdulillah! Aidilfitri selamat disambut dengan penuh rasa kesyukuran. Seminggu sebelum puasa saya telah berada di rumah ayah di Melaka. Hidris tidak dapat bersama-sama lantaran masih bekerja. Beliau pulang sehari sebelum raya. Tidak banyak yang dilakukan untuk sambutan raya ini. Saya ke Bangi sebentar untuk mengambil sijil sarjana saya. Di Melaka sekadar menganyam ketupat, membuat lopis, burasak dan rendang. Kuih raya, Adila yang uruskan. Saya cuma beli dua jenis sahaja untuk rumah ayah. Bagi rumah sendiri di Mersing kebanyakannya hasil pemberian orang.

Hari raya kedua, saya pulang mengikut suami ke Kota Tinggi. Ibu mertua mengadakan majlis raya untuk adik-beradiknya. Ramai yang hadir. Saya pulang ke Mersing pada raya kelima. Hmm... penat berhari raya. Seminggu raya saya dan suami mengadakan kenduri doa kesyukuran. Lebih 120 orang yang hadir. Makanan dimasak oleh kami berdua. Penat juga tapi seronok bila melihat tetamu yang hadir menikmati makanan.

Saya mula bertugas 20 September ni. Penat masih tak hilang tapi kerja tetap kerja. Punca rezeki utama.

Tuesday, July 13, 2010

Ya Syaaban!

Ahh... tanpa disedari Syaaban telah pun dijejaki. Belum puas bertamu dalam Rejab, kini Syaaban pula membuka anjungnya. Teringat satu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Syaaban itu bulanku manakala Ramadhan itu bulan umatku.Syaaban ialah yang mengkifaratkan dan Ramadhan itu yang menyucikan".

Pelbagai fadhilat yang disebutkan oleh para ulama mengenai bulan ini. Antara amalan yang digalakkan ialah memperbanyakkan puasa sunat, bertaubat dan beristighfar, banyakkan zikir dan doa.

Pelbagai kelebihan yang hendak diberikan oleh Allah terhadap muridnya pada bulan ini. Namun, ada yang terlupa bahawa sebelum melakukan ibadah sunat di bulan ini, pastikan anda telah membayar hutang puasa sebelum ini.

Saturday, July 03, 2010

Bulan Rejab...

Maksud Rejab dari sudut bahasa adalah mengagungkan dan memuliakan. Rejab ialah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah. Ia dipanggil Rejab kerana kaum Quraisy sangat mengagungkannya pada masa Jahiliyyah, iaitu dengan mengharamkan peperangan pada bulan tersebut.

Rejab mencatatkan sejarah dukacita Rasulullah SAW kerana baginda kehilangan dua insan yang dikasihi dalam bulan ini. Baginda kehilangan Siti Khadijah RA dan Abu Talib. Pada masa yang sama Peristiwa Israk dan Mikraj juga berlaku pada 27 Rejab yang merupakan anugerah Allah kepada Rasulullah SAW yang amat tinggi niainya dari segi kerohanian.

Dalam bulan ini terdapat beberapa keutamaan seperti larangan melakukan peperangan, digalakkan memperbanyakkan doa dan umrah dan memperbanyakkan puasa sunat. Setiap amalan yang dilakukan oleh seorang muslim dalam bulan ini akan dilipatgandakan pahalanya.

Oleh itu, sama-samalah kita memperbanyakkan amalan dan taubat agar kita sama-sama memperolehi rahmat daripada Allah Taala.

Friday, May 28, 2010

Long time no see...

Salam...

Seminggu lagi cuti pertengahan tahun bagi sekolah-sekolah di Malaysia akan bermula. Sekolah saya ketika ini sedang diserang demam peperiksaan... anak-anak murid sedang berhempas-pulas menguji kefahaman masing-masing. Saya sentiasa doakan agar mereka berjaya dan mudah menjawab...Amin!

Sofea pula akan mula periksa 1 Jun nanti. Sebelum ini dia telah menduduki peperiksaan sekolah agama. Minggu depan subjek sekolah kebangsaan pula. Insya-Allah, semoga dia berjaya menjawab semua soalan yang diberikan. Emak sentiasa doakan kejayaan Sofea.

Sudah dua minggu saya bertugas sebelah pagi. Buat sementara waktu sahaja kerana mengambil-alih tugas rakan sekerja yang sedang cuti bersalin. Kebetulan beliau mengajar ting. 5, 4 dan 3. Guru yang menggantikan beliau mengambil-alih kelas yang saya ajar. Saya masih lagi cuba menyesuaikan diri. Sudah lama saya bertugas sesi petang apabila naik pagi kejutan budaya tidak dapat dielakkan. Pertama, saya rasa rakan setugas sesi pagi lebih serius, mungkin disebabkan kelas-kelas peperiksaan yang diajar dan tingkah laku pelajar dewasa yang agar sukar untuk ditangani. Kedua, agak jarang dapat bersua muka. Masa mengajar sesi pagi lebih lama dari sesi petang. Masing-masing stress. Saya sentiasa berdoa agar pihak pentadbir mengambil tahu tekanan mereka. Tidak dapat dinafikan arahan kementerian tetap arahan....

Saya turut mengambil-alih sebagai guru kelas sementara. Pelajar-pelajar ting 5. Bagi saya mereka istemewa kerana sepanjang karier saya sebagai seorang guru, pertama kali dalam hidup saya berjumpa dengan pelajar sebegini. Pelbagai pendapat dan komentar yang saya dengar dari rakan setugas mengenai mereka sebelum saya masuk ke kelas ini. Saya ambil dan menimbang sebaik mungkin. Apabila masuk ke kelas ini. Dalam 1 jam 20 minit....saya hanya mampu mengajar selama 10 minit sahaja dan hanya dapat menyentuh 2 perkara sahaja. Timbul rasa belas di hati ini lantaran memikirkan masa depan mereka. Saya akan cuba sedaya-upaya... selagi saya berada di sekolah ini, selagi nyawa dikandung badan saya akan mencari metod yang paling sesuai untuk mengajar mereka. Bagi saya inilah cabaran sebenar seorang guru.

Apabila masuk ke kelas ini, saya sentiasa teringat arwah ibu saya. Waktu sebegini mengingatkan saya kecekalan beliau dalam mengajar anak-anak yang bermasalah. Arwah emak sangat sabar dengan kerenah pelajarnya. Saya sering menjadikan motivasi agar menjadi guru seperti beliau. Sepanjang hidup arwah emak sebagai guru beliau tidak pernah mengajar pelajar pilihan. Namun, pelajar di bawah bimbingannya ada yang telah berjaya sehingga ke peringkat kedoktoran di Jerman. Emak tidak pernah mengeluh, tidak pernah mengatakan pelajarnya malas dsbnya. Saya akan cuba mencontohi emak!

Bagi tesis master saya... alhamdulillah telah dibuat pembetulan. Sekarang cuma hendak mendapatkan pelepasan semakan gaya UKM daripada pihak PPS. Kekangan kerja menyukarkan saya untuk bercuti. Namun, pihak UKM memberikan keizinan untuk saya menghantar wakil. Maybe suami akan pergi menghantar tesis kerana mudah baginya untuk mengambil cuti.

Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Ust Zulkarnain Mohamad kerana mengedit abstrak saya. Banyak kali saya betulkan namun saya masih tidak dapat menghasilkan yang terbaik. Justeru, saya sangat menghargai pertolongan ustaz kerana telah menunjukkan cara yang sepatutnya abstrak tesis saya ditulis. Baru saya faham. Pengalaman pertama menulis abstrak, payah juga nak susun idea sendiri. Suami sendiri pun kata saya ni insan kalut.. banyak perkara dalam kepala.... Well, itulah keistimewaan saya!

Thursday, April 29, 2010

Program Pengukuhan Solat

Solat tiang agama, maka sesiapa yang tidak solat dia meruntuhkan agama itu...

Seringkali mafhum Hadith ini diucapkan dalam mana-mana ceramah atau forum yang berkaitan dengan solat. Namun, tidak ramai yang mengambil tahu atau cuba memikirkan maksudnya secara mendalam justeru mengambil iktibar.

Semalam, tempat bertugas saya telah melaksanakan sebuah projek dalam memperbaiki bacaan solat anak-anak pelajar. 40 orang dipilih daripada 947 orang pelajar. Bagi saya jumlah yang sedikit ini jika mampu diubah sudah menjadi satu kejayaan lantaran untuk menyedarkan pelajar tentang kepentingan solat bukanlah senang. Bak kata pepatah "Ringan mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".

Generasi remaja sekarang dihimpit dengan budaya hedonisme. Segala-galanya mengejar keseronokan. Pendek kata hanya nak enjoy sakan aje. Bila melihat anak-anak pelajar saya semalam timbul rasa belas dan terdetik di hati saya untuk berusaha menjadi seorang da'ie yang baik. Sukar sungguh... bila dikenangkan pengorbanan Rasulullah SAW, saya cuba kuatkan diri. Saya sentiasa mengingatkan diri agar banyak bersabar. Bukan senang hendak mendapat keredhaan Allah. Ini adalah ujian-Nya. Teringat sewaktu saya di universiti dahulu. Pendedahan tentang amal jama'ie, sifat mad'u dan sebagainya sedikit sebanyak membantu, namun saya masih tidak mencukupi.

Pulang ke rumah apabila melihat wajah anak-anak sendiri terdetik di hati saya agar tidak mengabaikan didikan agama pada mereka. Bagi saya jika didikan agama baik insya'Allah secara automatik ilmu-ilmu yang lain akan dapat dikuasai.

Doa saya pada anak-anak pelajar yang mengikuti kursus sehari itu agar dapat melakukan perubahan diri dan berusaha menjadi insan yang soleh dan solehah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib anda sekiranya anda tidak berusaha untuk mengubahnya...

Sunday, April 11, 2010

Sambutan Maulud Nabi di SRAB, Mersing.

Bermula 8.30 pagi ini, sekolah Amira Sofea mengadakan sebuah majlis sambutan Maulud Nabi. Saya sekeluarga menghadirinya. Kami tiba pada jam 8.00 pagi. Ketika itu, tidak ramai lagi yang hadir cuma para guru SRAB yang sedang sibuk menyiapkan persiapan akhir dan anak-anak yang terlibat dengan persembahan. Saya bersanggah di pejabat suami bersarapan dengan anak-anak sambil menunggu kehadiran ibu bapa lain.

Dalam 8.30 pagi majlis bermula. Sofea dan rakan-rakan sekolah mula bergerak ke dewan sambil berselawat. Pelajar SRAB Mersing tidak ramai sementelah ini adalah tahun keduanya. Lagipun pengambilan murid adalah terhad.

Pelajar sedang berkumpul di dataran sekolah.

Sofea menaiki tangga ke dewan.

Dimulakan dengan marhaban oleh murid lelaki, majlis ini juga disertai dengan beberapa ucapan daripada Pengerusi PIBG dan wakil Adun Endau. Kemudiannya, nasyid daripada murid perempuan. Sejurus selepas nasyid, ceramah mengenai baginda Rasulullah. Reaksi pelajar sungguh cemerlang. Terhibur melihat keletah anak-anak kecil ini. Majlis diakhiri dengan jamuan tengahari. 

                 Sofea sedang bernasyid...                                                Afi mendengar ceramah

Saturday, April 10, 2010

Akhirnya....

6 April 2010...tarikh keramat viva saya. Alhamdulillah akhirnya, saya lulus sepenuhnya pembelajaran master saya dalam Bahasa Arab. Segala pengorbanan yang diberikan oleh suami dan anak-anak sudah terbalas. Saya amat bersyukur kepada Allah Ta'ala atas kurniaanNya ini. Buat suami... ini hadiah untuk abang! Bagi anak-anak yang banyak berkorban untuk ibunya ini...terima kasih nak! Kamu semua yang menguatkan diri wanita ini untuk mencapai cita-citanya...Maafkan emak kerana terkurang memberikan perhatian sepanjang pembelajaran ini.

Tesis yang siap dijilidkan setelah dilakukan sedikit pembetulan teknikal akan diserahkan pada hujung bulan 5 ini. Jika tiada aral pada konvokesyen di bulan Ogos lengkaplah saya bergelar seorang sarjana. Tahun depan, dengan izin Allah, saya dan suami akan cuba menghantar proposal masing-masing untuk melanjutkan PhD pula...(Amin!) Mungkin kali ini saya akan melakukannya secara sambilan pula.

Pensyarah-pensyarah saya menggalakkan saya untuk memohon memasuki alam pekerjaan di universiti. Satu cadangan yang menarik lantaran jiwa saya yang amat menyukai buku dan ilmu. Namun, buat masa ini pelbagai perkara yang perlu difikirkan terutamanya anak-anak. Kerjaya suami yang tidak mengizinkan untuk saya menetap di satu tempat dalam jangkamasa yang lama serta tidak boleh tinggal di negeri lain selain Johor agar menyukarkan. Kasihan anak-anak yang masih kecil jika terpaksa duduk jauh dari ayahnya. Insya-Allah, jika ada rezeki tidak akan ke mana.

Saya ada memasang hasrat untuk membina kerjaya di bidang penterjemahan. Kursus penterjemahan dan suntingan telah saya hadiri. Lagipun kerjaya ini mudah dilakukan secara sendiri di rumah dan tidak terikat dengan mana-mana pihak. Mudah bagi saya untuk mendidik dan menjaga anak sendiri. Namun, buat masa ini ia sekadar satu hasrat yang belum ditunaikan kerana beberapa halangan. Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar niat saya ini dikabulkan.

Saya tidak kecewa menjadi guru, malah saya sememangnya minat menjadi guru. Keinginan saya untuk berbakti kepada anak bangsa dan menaikkan nama baik agama amat tinggi. Namun, perasaan itu sedikit demi sedikit mula berubah... saya melihat anak-anak saya setiap pagi dan berfikir betapa indahnya sekira ibunya dapat melayan kerenah mereka, mendidik mereka, menyuapkan makanan ke mulut mereka. Berkat air tangan ibu jauh lebih baik daripada tangan penjaga. Oleh itu, saya tidak mempunyai pembantu rumah. Segalanya dilakukan sendiri. Pelbagai gejala sosial merunsingkan saya. Itu yang membuatkan saya tidak keruan.  Mungkin satu hari nanti saya akan bekerja dari rumah dan melihat perkembangan anak-anak saya serta memastikan mereka tidak terjebak dalam perkara-perkara negatif...dan menjaga keperluan suami yang sentiasa terpaksa berkerja di luar pejabat.

Walau bagaimanapun, ijazah sarjana ini memberikan sesuatu yang baru dalam hidup saya. Saya sedang mencuba menggapai impian diri, ibu bapa, suami dan anak-anak! Buat arwah ibu dan kakak... ini hadiah buat kalian berdua!

Saturday, March 27, 2010

Kembali bertugas...

22 Mac 2010...saya selamat melaporkan diri di Kementerian Pelajaran Malaysia dan pada keesokkan harinya, saya telah memulakan tugas di SMK Anjung Batu, Mersing. Kejutan budaya sudah pasti ada kerana perubahan dari SIGS, Johor Bahru...kemudian cuti belajar...seterusnya ke sekolah semula...perlu saya hadapi. Insya-Allah, saya akan laluinya dengan pertolongan Allah SWT. Bukan mudah menjadi guru. Bagi saya tanggapan sesetengah orang yang mengatakan bahawa kerjaya guru menjadi pilihan apabila tiada pekerjaan lain perlu ditolak sama sekali. Bagi sesiapa yang hendak menjadi guru pastikan kerjaya ini adalah pilihan pertama anda. Saya sendiri dari kecil hendak menjadi guru. Barangkali kerana kedua-dua ibu bapa saya guru, malah datuk dan moyang saya juga guru...pendek kata keturunan saya sememangnya dari akar bidang pendidikan. Justeru itu, saya memasang cita-cita untuk memberikan khidmat terbaik saya dalam bidang ini.
Apabila menjadi guru sudah pasti berhadapan dengan pelbagai kerenah murid. Saya lebih gemar menggunakan kata 'murid' daripada 'pelajar'. Jika diteliti dari sudut bahasa, 'murid' dipinjam daripada kata Arab yang bermaksud seseorang yang menginginkan sesuatu. Dari sudut ini ia adalah berkeinginan terhadap ilmu. 

Kepelbagaian kerenah ini kadang-kala memeningkan kepala...kerana itu ramai guru yang tertekan...namun, bila diingati semula, ia menjadi kenangan yang terindah dalam diari seorang guru. Guru harus sentiasa mempunyai pertalian yang baik dengan Tuhan. Allah SWT yang merencanakan perjalanan hambaNya, maka hanya kepada Allah seseorang harus berpegang erat. Jangan dilepaskan tali itu jika mahu diri berada dalam keredhaanNya.

Guru yang ikhlas dalam mendidik muridnya pasti akan dibalasi dengan keikhlasan juga. Cuma guru itu tidak akan tahu bila...mungkin esok, lusa atau bertahun kemudian. Walaupun begitu, guru jangan mudah berputus asa. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah berputus asa walhal mad'u baginda lagi hebat menentang. Apa yang hendak saya coretkan di sini ialah bukan senang hendak membentuk syakhsiah manusia lain. Ia satu pekerjaan yang mengambil masa yang cukup panjang. Saya mengingatkan diri saya sendiri agar sentiasa berpandangan positif dan bertawakal kepada Allah dalam apa juga pekerjaan yang dilaksanakan.

Friday, March 05, 2010

Selamat Hari Lahir... Sayang!

This dry season is dreading me but thanks to Allah, there's still nice refreshing wind blowing from the sea... Well, living near the seaside does has its advantages and disadvantages. The good part is it always a windy place, the not so good part is my complexion is tanner than before. I'm blacker than ever.
Tomorrow is my husband's birthday... I'm trying to conduct a surprise party but there's difficulties... maybe next time. So, we'll be celebrating it only by our family members. What I'm going to cook??? Hmm... my husband loves chocolate cake. I'll bake chocolate moist cake and decorate it with chocolate ganache, so, that will be the dessert. For starter... I'm thinking of foul medammes with toasted bread. The entree should be chicken.. maybe 'ayam golek' or something like that with rice and salads. I hope my husband will like it. He's a picky person especially on food. Thus, he'll eat whatever I cook.

Every year on his birthday, we always pray together and ask Allah to give him a healthy life and to pour love within our heart. It is nice to get together, with the children and spend time playing with them. I think I'll ask my husband to have a picnic near the seaside tomorrow. The children would be glad.
 
Well, hopefully my cooking will turn out nice and to my beloved husband.. I wish you a happy birthday and may Allah bless you with a blissful life. 

I’m wishing you another year
Of laughter, joy and fun,
Surprises, love and happiness,
And when your birthday’s done,
I hope you feel deep in your heart,
As your birthdays come and go,
How very much you mean to me,
More than you can know.

Thursday, February 25, 2010

Selamat Meraikan Maulid Rasul

Esok, umat Islam di Malaysia akan meraikan Maulid Rasul. Di Johor sambutan ini kebiasaannya akan berakhir hampir sebulan kerana banyak sekolah yang akan mengadakan sambutannya mengikut kelapangan tarikh yang ada dalam Rabiul Awal ini.

Suami saya akan menghadiri sambutan ini di peringkat daerah esok pagi. Saya kurang pasti sama ada Mersing akan mengadakan perarakan atau tidak. Bagaimanapun, sambutan ini bukan semata-mata terletak pada perjalanan program yang telah diatur. Apa yang penting adalah penghayatan kelahiran Rasulullah SAW sendiri. Sejauhmana kita sebagai muslim mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut?

Kelahiran baginda SAW merupakan satu rahmat terhadap umat Islam. Kelahiran baginda SAW direnteti dengan pelbagai peristiwa. Dari kegelapan manusia dibawa keluar ke jalan yang terang dipancari cahaya keimanan. Kita diajar dengan pelbagai perkara kebaikan, cara untuk menghargai kehidupan ini dengan sebaiknya dan cara berkasih-sayang sesama makhluk. Tanpa Rasulullah SAW, umat Islam tidak akan merasai nikmat Islam dan Iman.

Oleh itu, bersempena dengan hari kelahiran baginda SAW, sama-samalah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan sentiasa mendoakan agar diri, keluarga, bangsa, agama dan negara kita berada dalam keadaan yang baik berpanjangan...Amin.

(Ya Allah! Turunkanlah hujan di bumi yang gersang ini. Kau siramilah air yang sejuk ke atas segala kehidupan di sini. Sesungguhnya ya Allah... dosa-dosa kami ini terlalu banyak... ampunilah kami ya Allah).

Sekarang ni el-Nino Modeki... jangan lakukan pembakaran terbuka dan jimatkan penggunaan air...!

Sunday, February 21, 2010

IBN SINA (Avicenna)

Semalam... secara spontan kami sekeluarga ke Kluang semata-mata untuk mencari kotak plastik besar. Alhamdulillah, dapat juga satu. Sekembalinya dari Kluang, saya terbaca sebuah artikel mengenai seorang tokoh yang akan saya kongsikan dalam tulisan ini.

Ibn Sina. Nama sebenar beliau ialah Abu Ali Husin bin Abdullah bin Hassan bin Ali Sina. Masyarakat Barat mengenali beliau sebagai Avicenna. Beliau seorang ahli falsafah dan pakar perubatan yang terkemuka pada zamannya. Ibn Sina dilahirkan di Afsyinah, Bukhara (Uzbekistan) pada tahun 424H (980M) dan meninggal dunia di Hamadan (Iran) pada 483H (1037M).

Tokoh ini mendapat pendidikan awal sejak berumur 5 tahun lagi dan telah menghafal al-Quran pada usia 10 tahun. Pelbagai ilmu yang dipelajarinya seperti al-Quran, tafsir, fiqh, usuluddin, tasawuf, ilmu mantik, sains, matematik, geometri, fizik, astronomi dan falsafah al-Farabi. Ketajaman akalnya membolehkan Ibn Sina jangkamasa 13 tahun sahaja untuk mempelajari ilmu agama hingga kepada ilmu perubatan. Pada usia 18 tahun, beliau telah menguasai ilmu kedoktoran dan menulis bukunya yang mahsyur "al-Qanun fi al-Tibb" (A Canon in Medicine).

Ibn Sina berpendapat wujudnya ilmu yang bersepadu dan saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu, beliau menggabungkan setiap cabang ilmu sains dengan perkara-perkara kerohanian. Pada usia 21 tahun, Ibn Sina telah menulis 238 buah buku dan artikel. Beliau juga mengemukakan 760 cara perubatan baru. Sepanjang hayatnya, Ibn Sina melaksanakan 3 tanggungjawab yang besar iaitu sebagai doktor, menteri dan penulis.

Apabila saya imbas kembali, setiap tokoh besar yang pernah saya baca di awal hidup mereka sentiasa dimulai dengan al-Quran. Sejak kecil, mereka telah menghafal al-Quran dan mengkaji al-Quran beserta dengan ilmu yang lain. Disamping itu, mereka tidak putus-putus bermunajat kepada Allah agar ilmu yang diperolehi diberkati. Maka, tidak hairanlah sekiranya buku-buku penulisan mereka masih dirujuk sehingga ke hari ini dan teori yang dihasilkan diguna pakai dalam pelbagai bidang.

Oleh yang demikian, dalam mencari ilmu hendaklah sentiasa ingat untuk tidak mengabaikan suruhan Allah Ta'ala. Jangan jadikan sibuk mencari ilmu sebagai alasan untuk tidak solat, puasa dan sebagainya. Ingatlah, sesungguhnya segala ilmu itu milik Allah SWT. Tanpa redha dan izin-Nya manakan kita sebagai hamba akan dapat memiliki ilmu tersebut.

Ibn Sina

Thursday, February 18, 2010

Cuti Tahun Baru Cina

As a multiracial country, Malaysia certainly celebrates lots of festival, and this February is the Chinese New Year (the year of tiger). As to that, my family and I are enjoying the festive holiday by spending our time at Terengganu. On the last Saturday, we went to my in-laws's house at Kg. Rhu Sepuloh, Setiu. Near Penarik. They just moved to a new house that was built near the seaside. If I am not mistaken, the jetty to Pulau (aah.. what the name of that island... I've clearly forgotten).. I think it is Pulau Kapas and Redang...is situated at Penarik.

We went there with my husband's parents and his siblings. The 12th hour journey was quite a torture. We stopped for three times to have lunch, pray and dinner. We arrived at my in-laws's house at about 12 am. My back ached and my husband's is in pain.

We stayed there for 3 days. During the stay, we went to Kolam Air Panas La and Rantau Panjang at Kelantan. At Rantau Panjang, I only bought things for my children for the place was intensely hot and stuffy. My husband and I really hate stuffy places!

It is quite a journey. We really did enjoyed it and my children were having lots of fun with their cousins.

My husband's siblings and nieces

 
My family at Air Panas La

 
Sofea enjoying her time.

Saturday, February 13, 2010

Doa Menaiki Kenderaan

 

Malay
Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya.
Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!
English
“Glory to Him Who has subjected these to our (use), for we could never have accomplished this (by ourselves),
And to our Lord, surely, must we turn back!”

(JANGAN LUPA BACA SEBELUM MEMULAKAN PERJALANAN ANDA).

Cuti-cuti Malaysia!

Sekolah-sekolah di Malaysia memulakan cuti selama seminggu untuk meraikan perayaan Tahun Baru Cina pada 14 Februari ini. Tahun ini tak silap saya tahun Harimau. Bagi rakan-rakan yang berbangsa Cina diucapkan Ging Xi Fa Cai! 

Apabila sekolah cuti lama maka sudah pasti jalan raya akan penuh sesak dengan kenderaan. Almaklumlah cuti... semua akan jalan sakan. Saya dan keluarga tidak ketinggalan juga. Esok, saya akan mengikut suami dan ahli keluarganya ke rumah kakak sulong suami di Terengganu. Tak pasti konvoi berapa kereta. 3 atau empat kot?!
Beg pakaian anak-anak dah settle, termasuk barang keperluan lain. Selepas Subuh esok kena pergi pasar... beli lauk. tugasan khas kena masak bekal. Bukan apa.. klu berhenti susah nanti. Anak-anak ramai macam-macam gaya. Langkah paling selamat bawa bekal dan berhenti di mana-mana tempat yang sesuai.

Bagi mereka yang juga hendak bersantaian jauh dari rumah, sama-samalah kita berhati-hati ketika memandu, pastikan keselamatan rumah, jangan lupa beritahu balai polis berdekatan tentang ketiadaan anda, maklumkan jiran sebelah yang anda tiada dan pastikan segala alat elektrik dan gas dimatikan sebelum berjalan. Paling penting... ENJOY YOUR TRIP!!! 

Wednesday, February 10, 2010

Getir Perjuangan Kemerdekaan (Sambungan)

Arus kebangkitan semangat nasionalisme peringkat kedua telah diperlihatkan melalui gerakan penentangan hebat terhadap Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946 setelah British mengambil alih semula pentadbiran Tanah Melayu dari tangan Jepun. Penubuhan PEKEMBAR (UMNO) pada 11 Mei 1946 menggabungkan suara pertubuhan-pertubuhan Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union. Penentangan secara bersepadu ini telah membuahkan hasil apabila Malayan Union dibubarkan. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan pada 1 Februari 1948.

Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn kepada Tunku Abdul Rahman
dilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme peringkat ketiga iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Serentak itu, slogan ’Hidup Melayu’ diubah kepada ’Merdeka’ sesuai dengan perubahan matlamat perjuangan UMNO. Sebagaimana ucapan Tunku Abdul Rahman Putra di Persidangan Agong Pemuda UMNO pada 3 April 1953, ”cogan Hidup Melayu bermakna kita sedia duduk di bawah naungan British dan berjuang untuk menyelamatkan kedudukan bangsa kita serta merebut kelebihan bangsa kita dengan belas rahim British. Tetapi slogan Merdeka itu bermakna kita bebaskan diri kita dari naungan British dan berdiri di atas kaki kita sendiri. Bagi menyelamat dan mendapatkan kelebihan-kelebihan untuk bangsa kita, terpulanglah kepada kita sendiri dan tidak lagi berharapkan belas rahim British lagi”.

Perjuangan menuntut kemerdekaan diperteguhkan dengan permuafakatan melalui PERIKATAN di antara orang-orang Melayu, Cina dan India di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Paduan tenaga setiap golongan masyarakat dalam ruang lingkup yang tersendiri seperti guru, wartawan dan penulis, ahli-ahli politik dan juga pihak istana semakin membakar semangat dan memperteguhkan lagi tekad untuk segera mendapatkan kemerdekaan bagi negara ini.

Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan-desakan para pejuang maka pada awal tahun 1956, rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah berangkat ke London bagi mengadakan  rundingan dengan pihak British. Rundingan ini membawa kepada termeterainya perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956. Kepulangan rombongan ini disambut meriah di Melaka. Padang Banda Hilir, Melaka menjadi saksi pada 20 Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan negara amat unik kerana ia dicapai melalui meja rundingan tanpa melibatkan penumpahan darah.

Nyatalah, kemerdekaan yang dikecapi kini perlu dipertahankan kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Perjuangan menuntut kemerdekaan negara terpaksa melalui ranjau penuh duri dalam tempoh yang amat panjang. Justeru, semangat dan pengorbanan para pejuang lalu perlu dijadikan wadah untuk kita menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta.

Tamat.


Pemergianmu ditangisi.

Semalam... 9 Februari. 5 tahun telah berlalu sejak pemergian emak ke alam barzakh. Bila lihat Aser, teringat pada saat emak dikebumikan kerana waktu tu Aser 7 bulan dalam kandungan. Rindu pada emak bukan kepalang. Rindu untuk meluahkan segala keperitan yang dilalui dalam hidup ini, rindu untuk melihat emak tersenyum bila melihat kerenah para cucunya, rindu pada suara emak yang memberikan kata-kata perangsang untuk terus berada selangkah di hadapan. Rindu untuk bermanja kerana tiada sesiapa yang dapat mengganti tempat emak. Doa angah agar roh emak berada dalam kalangan orang yang bertaqwa dan beramal soleh...Amin!!!

Ibu...ibu... Engkaulah ratu hatiku.

Monday, February 08, 2010

Kasih Ayah!

Di La Bella, Mersing.

Pemikiran anak-anak pada zaman ini amat berbeza dengan zaman yang sebelumnya. Ini kerana mereka terdedah dengan pelbagai unsur positif dan negatif. Pada umur 4 tahun telah disekolahkan, minda dilatih dengan pelbagai perkara. Ibu bapa menaruh harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak mereka berjaya. Oleh itu, dalam mendidik anak-anak ini hendaklah para ibu bapa menjadi seorang yang sangat peka dengan kemahuan anak-anak mereka. Ibu dan ayah masing-masing memainkan peranan yang penting. Tanggungjawab mendidik dan menyayangi tidak terletak semata-mata di tangan ibu atau ayah lagi tetapi kedua-duanya.

Sekiranya ibu bapa melaksanakan peranan ini dengan baik, Insya-Allah, anak-anak akan menjadi baik. Sekiranya isteri sibuk apa salahnya suami menolong menjaga anak, begitu juga sebaliknya. Atas sebab ini, saya sangat berterima kasih dengan suami yang tersayang kerana persefahaman yang ada dalam mendidik amak-anak kami. Bagi saya dia adalah bapa yang terbaik untuk anak-anak saya. Terima kasih...sayang!

Late Night Snack..

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka.

Pejam celik pejam celik, dah hampir seminggu Februari berlalu. Cuti pun dah makin hampir berakhir. Bila difikirkan berat rasa hati nak kerja semula tapi bila duduk sahaja terasa bosan pula. Bermula hari ini hingga Selasa nanti Dris berada di Ledang, berkursus BTN. Doaku semoga dia selamat pergi dan pulang ke Mersing.

Sambungan.. Getir Perjuangan Kemerdekaan:
Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata pena. Arus kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-20. Antaranya, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Muhammad Akil, Sheikh Awad Saidin dan Haji Abas Taha. Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.
Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa orang tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Harun Muhammad Amin, Abdul Hadi bin Hassan, Burhanuddin Al-Helmi dan Abdul Rahim Kajai. Dalam perkembangan seterusnya menyaksikan beberapa buah parti politik dan persatuan yang ditubuhkan bagi melahirkan gerakan penentangan yang lebih bersepadu.
Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941 dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula Februari 1942 hingga September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman yang pahit kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar terhadap persekitaran dan perkembangan yang berlaku. Jepun turut menyemaikan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu supaya membenci British melalui cerapan ideologi ’Asia Untuk Asia’.
(to be continued).

Wednesday, February 03, 2010

Getir Perjuangan Kemerdekaan

Kemerdekaan bukannya dicapai dalam sehari dua tetapi melalui perjalanan yang sangat lama yang disulami dengan titisan air mata dan darah. Sebuah artikel yang saya petik dari laman Arkib Negara ini membuatkan kita terfikir tentang apakah pengorbanan kita terhadap agama, bangsa dan negara.

Fikirkan...

"Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 merupakan saat bermulanya penentangan orang Melayu terhadap penjajahan kuasa luar.  Selepas Belanda mengalahkan Portugis dan menduduki Melaka pada tahun 1641, perjuangan menentang penjajah oleh pemerintah dan rakyat tempatan berterusan seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada ketika ini, lahirlah tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun 1784 menentang Belanda sehingga beliau akhirnya terkorban di Telok Ketapang.

Kehadiran British ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1786 telah menyemarakkan lagi usaha penentangan orang Melayu terhadap penjajah terutama apabila British mula mencampuri urusan pentadbiran tempatan. Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu malah juga di Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-British memperlihatkan gelombang penentangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Penghulu Dol Said di Naning, Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti dan Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah di Perak, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Raja Mahadi di Selangor, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak serta Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah. Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun semangat juang mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan tanah air wajar disanjung."... bersambung.


Friday, January 29, 2010

Daulatu Tuanku!

Takziah buat kerabat diraja Johor atas kemangkatan almarhum Sultan Iskandar. Seminggu telah berlalu tetapi kemangkatan baginda masih dirasai. Semoga roh almarhum dirahmati dan diberkati Allah Ta'ala. Tahniah juga buat Sultan Ibrahim atas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Johor Ke-5, dalam sejarah Johor Moden. Daulat Tuanku!

Alhamdulillah, seminggu sudah tesis telah dihantar. Cuma menunggu peperiksaan lisan sahaja. Cuti masih berbaki dan digunakan untuk persiapan viva disamping mencari tempat posting yang baru. Penyelia menasihatkan untuk memohon kerja di universiti. Hajat hati tu memang ada tetapi bila memikirkan anak-anak dan suami kena fikir betul-betul. Anyhow, buat sementara waktu mungkin akan bertugas di salah sebuah institut perguruan dan mungkin akan terus sambung Phd. Klu tak tahun ni tahun depan. Kena buat persiapan untuk proposal yang mantap. Jika berkesempatan hendak ambil ielts atau toefl... hehehe... manalah tahu teringin nak belayar ke luar negara plak. Sebelum terlupa... terima kasih daun keladi kepada mereka yang telah membantu dalam menyiapkan tesis saya.

Minggu depan, jika tiada aral, akan uruskan rumah di Pulai Emas. Hidris akan ambil cuti. Macam-macam yang perlu diuruskan sebelum pindah masuk. Sekarang ni pun sedang mengemas rumah sedikit demi sedikit. Penat betul berpindah-randah nih.

Pejam celik pejam celik dah nak masuk Februari... cepat betul masa berlalu.

Monday, January 11, 2010

Selamat bersekolah!

Seminggu dah berlalu sejak sekolah dibuka semula. Kali ini sempat merasa menguruskan anak-anak ke sekolah kerana belum menerima penempatan tempat kerja yang baru. Sofea sudah darjah satu di Sekolah Rendah Arab Bersepadu Mersing manakala Aser baru masuk Tadika Agama Johor. Alhamdulillah tiada masalah untuk menguruskan si kakak kerana dia memang sentiasa bersemangat untuk ke sekolah. Aser begitu juga cuma takut nak ke kelasnya tapi bila dah jumpa dengan kawan-kawan hilang terus takut.

Dris yang hantar dan ambil mereka dari sekolah tapi jika dia sibuk setiap tugas itu digalang oleh .....hehehe siapa lagi kalau bukan diri ini.Insya-Allah minggu depan akan ke KL untuk hantar tesis yang telah siap dibetulkan. Belum sempat nak set tarikh dengan penyelia. Harapnya tiada sebarang kerumitan yang berlaku.  Dris akan ambil cuti untuk hantar ke KL. Sofea akan tumpang sementara di rumah nenek saudara dia. Kalau ada masalah berkemungkinan besar akan duduk di Melaka untuk seminggu dan Dris akan balik ke Mersing lebih awal. Tengoklah macam mana nanti.

Selepas hantar tesis kena bersiap untuk kemas rumah. Dengarnya Dris akan ditukarkan ke Kluang tapi belum dapat pengesahan lagi. Dris cuba minta Batu Pahat supaya mudah untuk saya memohon Institut Perguruan Batu Pahat sebelum kena posting jauh-jauh. Banyak betul yang hendak dilakukan. Rumah di Pulai Emas mungkin terpaksa disewakan buat sementara. Sakit juga bila menyewa dan pada masa yang sama bayar pinjaman perumahan.

Hmm... nak letak gambar terbaru tapi ada masalah sikit plak... next time ada gambar. Selalu pesan kat anak-anak sebelum ke sekolah minum susu segelas, ambil wuduk dan baca doa.