Tuesday, November 16, 2010

Akhir Minggu Persekolahan

Berbaki 3 hari lagi sebelum musim persekolahan 2010 melabuhkan tirainya. Tujuh bulan mengajar pada tahun ini, selepas di'posting'kan semula, banyak memberikan pengalaman baru yang tidak pernah diperolehi ketika mengajar di SIGS, JB. Dua budaya yang berbeza, jenis pelajar yang berbeza, persekitaran yang berbeza dan rakan-rakan staf yang berbeza sememangnya membuatkan diri ini mengeluh pada awalnya namun, mula menyedari yang masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Masakan tidak, dari SIGS (sekolah premier dan kemasukan pelajarnya dari 5A UPSR) ke SMKAB (pelajar bukan terpilih) adalah cabaran besar yang perlu diharungi. Terdetik dalam hati saya, inilah generasi yang perlu diberikan tumpuan. Apabila pelajar ini berjaya, ia memberikan impak yang tidak dapat dilupakan. Terharu kerana dari sifar kepada sesuatu yang bernilai. Benar kata rakan staf di sini, SMKAB menunjukkan guru mana yang benar-benar seorang guru.

Hari ini dan esok banyak sekolah yang bercuti. Sambutan Aidil Adha. Kebanyakan sekolah di Mersing tidak dibenarkan meneruskan cuti sehingga akhir persekolahan kerana pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum cuti sekolah. Di kesempatan ini, saya mengucapkan KULLU 'AM WA ANTUM BIKHAIR.

Cuti persekolahan kali ini tidak merancang pelbagai perkara. Perlu jaga SPM... letihnya rasa... Sejak mula menjadi guru hingga sekarang setiap tahun dilantik. Adakalanya iri hati juga apabila adik-adik junior dengan mudah menolak tugas tersebut kerana hendak balik kampung. Ahhh! Saya pun ada kampung juga! Tapi banyak kali mengingatkan diri... guru perlu berkorban.... Alhamdulillah saya punya suami yang amat memahami.

Sofea, anak sulung saya banyak kali meminta saya membelikan basikal. Ingat, hendak masukkan dia dalam kelas taekwondo ke?! Tapi tengoklah macam mana.

Akhir kata, selamat bercuti... dan bagi yang bertugas sepanjang cuti... kuatkan semangat anda!