Monday, February 08, 2010

Late Night Snack..

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka.

Pejam celik pejam celik, dah hampir seminggu Februari berlalu. Cuti pun dah makin hampir berakhir. Bila difikirkan berat rasa hati nak kerja semula tapi bila duduk sahaja terasa bosan pula. Bermula hari ini hingga Selasa nanti Dris berada di Ledang, berkursus BTN. Doaku semoga dia selamat pergi dan pulang ke Mersing.

Sambungan.. Getir Perjuangan Kemerdekaan:
Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata pena. Arus kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-20. Antaranya, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Muhammad Akil, Sheikh Awad Saidin dan Haji Abas Taha. Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.
Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa orang tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Harun Muhammad Amin, Abdul Hadi bin Hassan, Burhanuddin Al-Helmi dan Abdul Rahim Kajai. Dalam perkembangan seterusnya menyaksikan beberapa buah parti politik dan persatuan yang ditubuhkan bagi melahirkan gerakan penentangan yang lebih bersepadu.
Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941 dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula Februari 1942 hingga September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman yang pahit kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar terhadap persekitaran dan perkembangan yang berlaku. Jepun turut menyemaikan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu supaya membenci British melalui cerapan ideologi ’Asia Untuk Asia’.
(to be continued).

No comments:

Post a Comment