Wednesday, February 10, 2010

Getir Perjuangan Kemerdekaan (Sambungan)

Arus kebangkitan semangat nasionalisme peringkat kedua telah diperlihatkan melalui gerakan penentangan hebat terhadap Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946 setelah British mengambil alih semula pentadbiran Tanah Melayu dari tangan Jepun. Penubuhan PEKEMBAR (UMNO) pada 11 Mei 1946 menggabungkan suara pertubuhan-pertubuhan Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union. Penentangan secara bersepadu ini telah membuahkan hasil apabila Malayan Union dibubarkan. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan pada 1 Februari 1948.

Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn kepada Tunku Abdul Rahman
dilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme peringkat ketiga iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Serentak itu, slogan ’Hidup Melayu’ diubah kepada ’Merdeka’ sesuai dengan perubahan matlamat perjuangan UMNO. Sebagaimana ucapan Tunku Abdul Rahman Putra di Persidangan Agong Pemuda UMNO pada 3 April 1953, ”cogan Hidup Melayu bermakna kita sedia duduk di bawah naungan British dan berjuang untuk menyelamatkan kedudukan bangsa kita serta merebut kelebihan bangsa kita dengan belas rahim British. Tetapi slogan Merdeka itu bermakna kita bebaskan diri kita dari naungan British dan berdiri di atas kaki kita sendiri. Bagi menyelamat dan mendapatkan kelebihan-kelebihan untuk bangsa kita, terpulanglah kepada kita sendiri dan tidak lagi berharapkan belas rahim British lagi”.

Perjuangan menuntut kemerdekaan diperteguhkan dengan permuafakatan melalui PERIKATAN di antara orang-orang Melayu, Cina dan India di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Paduan tenaga setiap golongan masyarakat dalam ruang lingkup yang tersendiri seperti guru, wartawan dan penulis, ahli-ahli politik dan juga pihak istana semakin membakar semangat dan memperteguhkan lagi tekad untuk segera mendapatkan kemerdekaan bagi negara ini.

Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan-desakan para pejuang maka pada awal tahun 1956, rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah berangkat ke London bagi mengadakan  rundingan dengan pihak British. Rundingan ini membawa kepada termeterainya perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956. Kepulangan rombongan ini disambut meriah di Melaka. Padang Banda Hilir, Melaka menjadi saksi pada 20 Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan negara amat unik kerana ia dicapai melalui meja rundingan tanpa melibatkan penumpahan darah.

Nyatalah, kemerdekaan yang dikecapi kini perlu dipertahankan kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Perjuangan menuntut kemerdekaan negara terpaksa melalui ranjau penuh duri dalam tempoh yang amat panjang. Justeru, semangat dan pengorbanan para pejuang lalu perlu dijadikan wadah untuk kita menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta.

Tamat.


No comments:

Post a Comment