Saturday, April 10, 2010

Akhirnya....

6 April 2010...tarikh keramat viva saya. Alhamdulillah akhirnya, saya lulus sepenuhnya pembelajaran master saya dalam Bahasa Arab. Segala pengorbanan yang diberikan oleh suami dan anak-anak sudah terbalas. Saya amat bersyukur kepada Allah Ta'ala atas kurniaanNya ini. Buat suami... ini hadiah untuk abang! Bagi anak-anak yang banyak berkorban untuk ibunya ini...terima kasih nak! Kamu semua yang menguatkan diri wanita ini untuk mencapai cita-citanya...Maafkan emak kerana terkurang memberikan perhatian sepanjang pembelajaran ini.

Tesis yang siap dijilidkan setelah dilakukan sedikit pembetulan teknikal akan diserahkan pada hujung bulan 5 ini. Jika tiada aral pada konvokesyen di bulan Ogos lengkaplah saya bergelar seorang sarjana. Tahun depan, dengan izin Allah, saya dan suami akan cuba menghantar proposal masing-masing untuk melanjutkan PhD pula...(Amin!) Mungkin kali ini saya akan melakukannya secara sambilan pula.

Pensyarah-pensyarah saya menggalakkan saya untuk memohon memasuki alam pekerjaan di universiti. Satu cadangan yang menarik lantaran jiwa saya yang amat menyukai buku dan ilmu. Namun, buat masa ini pelbagai perkara yang perlu difikirkan terutamanya anak-anak. Kerjaya suami yang tidak mengizinkan untuk saya menetap di satu tempat dalam jangkamasa yang lama serta tidak boleh tinggal di negeri lain selain Johor agar menyukarkan. Kasihan anak-anak yang masih kecil jika terpaksa duduk jauh dari ayahnya. Insya-Allah, jika ada rezeki tidak akan ke mana.

Saya ada memasang hasrat untuk membina kerjaya di bidang penterjemahan. Kursus penterjemahan dan suntingan telah saya hadiri. Lagipun kerjaya ini mudah dilakukan secara sendiri di rumah dan tidak terikat dengan mana-mana pihak. Mudah bagi saya untuk mendidik dan menjaga anak sendiri. Namun, buat masa ini ia sekadar satu hasrat yang belum ditunaikan kerana beberapa halangan. Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar niat saya ini dikabulkan.

Saya tidak kecewa menjadi guru, malah saya sememangnya minat menjadi guru. Keinginan saya untuk berbakti kepada anak bangsa dan menaikkan nama baik agama amat tinggi. Namun, perasaan itu sedikit demi sedikit mula berubah... saya melihat anak-anak saya setiap pagi dan berfikir betapa indahnya sekira ibunya dapat melayan kerenah mereka, mendidik mereka, menyuapkan makanan ke mulut mereka. Berkat air tangan ibu jauh lebih baik daripada tangan penjaga. Oleh itu, saya tidak mempunyai pembantu rumah. Segalanya dilakukan sendiri. Pelbagai gejala sosial merunsingkan saya. Itu yang membuatkan saya tidak keruan.  Mungkin satu hari nanti saya akan bekerja dari rumah dan melihat perkembangan anak-anak saya serta memastikan mereka tidak terjebak dalam perkara-perkara negatif...dan menjaga keperluan suami yang sentiasa terpaksa berkerja di luar pejabat.

Walau bagaimanapun, ijazah sarjana ini memberikan sesuatu yang baru dalam hidup saya. Saya sedang mencuba menggapai impian diri, ibu bapa, suami dan anak-anak! Buat arwah ibu dan kakak... ini hadiah buat kalian berdua!

No comments:

Post a Comment