Thursday, April 29, 2010

Program Pengukuhan Solat

Solat tiang agama, maka sesiapa yang tidak solat dia meruntuhkan agama itu...

Seringkali mafhum Hadith ini diucapkan dalam mana-mana ceramah atau forum yang berkaitan dengan solat. Namun, tidak ramai yang mengambil tahu atau cuba memikirkan maksudnya secara mendalam justeru mengambil iktibar.

Semalam, tempat bertugas saya telah melaksanakan sebuah projek dalam memperbaiki bacaan solat anak-anak pelajar. 40 orang dipilih daripada 947 orang pelajar. Bagi saya jumlah yang sedikit ini jika mampu diubah sudah menjadi satu kejayaan lantaran untuk menyedarkan pelajar tentang kepentingan solat bukanlah senang. Bak kata pepatah "Ringan mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".

Generasi remaja sekarang dihimpit dengan budaya hedonisme. Segala-galanya mengejar keseronokan. Pendek kata hanya nak enjoy sakan aje. Bila melihat anak-anak pelajar saya semalam timbul rasa belas dan terdetik di hati saya untuk berusaha menjadi seorang da'ie yang baik. Sukar sungguh... bila dikenangkan pengorbanan Rasulullah SAW, saya cuba kuatkan diri. Saya sentiasa mengingatkan diri agar banyak bersabar. Bukan senang hendak mendapat keredhaan Allah. Ini adalah ujian-Nya. Teringat sewaktu saya di universiti dahulu. Pendedahan tentang amal jama'ie, sifat mad'u dan sebagainya sedikit sebanyak membantu, namun saya masih tidak mencukupi.

Pulang ke rumah apabila melihat wajah anak-anak sendiri terdetik di hati saya agar tidak mengabaikan didikan agama pada mereka. Bagi saya jika didikan agama baik insya'Allah secara automatik ilmu-ilmu yang lain akan dapat dikuasai.

Doa saya pada anak-anak pelajar yang mengikuti kursus sehari itu agar dapat melakukan perubahan diri dan berusaha menjadi insan yang soleh dan solehah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib anda sekiranya anda tidak berusaha untuk mengubahnya...

No comments:

Post a Comment