Saturday, March 27, 2010

Kembali bertugas...

22 Mac 2010...saya selamat melaporkan diri di Kementerian Pelajaran Malaysia dan pada keesokkan harinya, saya telah memulakan tugas di SMK Anjung Batu, Mersing. Kejutan budaya sudah pasti ada kerana perubahan dari SIGS, Johor Bahru...kemudian cuti belajar...seterusnya ke sekolah semula...perlu saya hadapi. Insya-Allah, saya akan laluinya dengan pertolongan Allah SWT. Bukan mudah menjadi guru. Bagi saya tanggapan sesetengah orang yang mengatakan bahawa kerjaya guru menjadi pilihan apabila tiada pekerjaan lain perlu ditolak sama sekali. Bagi sesiapa yang hendak menjadi guru pastikan kerjaya ini adalah pilihan pertama anda. Saya sendiri dari kecil hendak menjadi guru. Barangkali kerana kedua-dua ibu bapa saya guru, malah datuk dan moyang saya juga guru...pendek kata keturunan saya sememangnya dari akar bidang pendidikan. Justeru itu, saya memasang cita-cita untuk memberikan khidmat terbaik saya dalam bidang ini.
Apabila menjadi guru sudah pasti berhadapan dengan pelbagai kerenah murid. Saya lebih gemar menggunakan kata 'murid' daripada 'pelajar'. Jika diteliti dari sudut bahasa, 'murid' dipinjam daripada kata Arab yang bermaksud seseorang yang menginginkan sesuatu. Dari sudut ini ia adalah berkeinginan terhadap ilmu. 

Kepelbagaian kerenah ini kadang-kala memeningkan kepala...kerana itu ramai guru yang tertekan...namun, bila diingati semula, ia menjadi kenangan yang terindah dalam diari seorang guru. Guru harus sentiasa mempunyai pertalian yang baik dengan Tuhan. Allah SWT yang merencanakan perjalanan hambaNya, maka hanya kepada Allah seseorang harus berpegang erat. Jangan dilepaskan tali itu jika mahu diri berada dalam keredhaanNya.

Guru yang ikhlas dalam mendidik muridnya pasti akan dibalasi dengan keikhlasan juga. Cuma guru itu tidak akan tahu bila...mungkin esok, lusa atau bertahun kemudian. Walaupun begitu, guru jangan mudah berputus asa. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah berputus asa walhal mad'u baginda lagi hebat menentang. Apa yang hendak saya coretkan di sini ialah bukan senang hendak membentuk syakhsiah manusia lain. Ia satu pekerjaan yang mengambil masa yang cukup panjang. Saya mengingatkan diri saya sendiri agar sentiasa berpandangan positif dan bertawakal kepada Allah dalam apa juga pekerjaan yang dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment